PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membangkitkan persoalan serta nada sindiran berhubung dakwaan pihak Pakatan Harapan (PH) yang dikaitkan dengan kedudukannya.
Hantaran tersebut dipercayai sebagai maklum balas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan semata-mata demi membebaskan bekas perdana menteri itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook hari ini, Najib tampil mempersoalkan dakwaan pihak berkenaan.
“Rasanya PH tak mungkin bohong pada rakyat Johor. Bahawa BN (Barisan Nasional) menang besar di Johor, Najib bebas.
“Jadi, Najib bebas hari ini tak? Sekitar pukul berapa?” katanya menerusi hantaran tersebut.
Hantaran yang dimuat naik itu mendapat perhatian pengguna dengan mencatatkan lebih 18,000 tanda suka, 1,300 komen serta lebih 600 perkongsian dalam tempoh sejam ia dimuat naik.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial turut memberikan pelbagai reaksi dan maklum balas berhubung hantaran berkenaan.
Seorang pengguna, John Labu menyifatkan hantaran berkenaan sebagai satu sindiran yang tajam.
“Baekkkkk punya sindir,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Clement Thong turut meninggalkan ucapan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Selamat kembali Najib. Masih yang terbaik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















