Antara pelajar sekolah menengah di Perlis yang mengikuti program jelajah Future IC Design Engineer and STEM Carnival yang diterajui UniMAP.

360 pelajar Perlis diasuh jadi pereka cip negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKNOLOGI reka bentuk cip elektronik mungkin kedengaran terlalu kompleks untuk dipelajari oleh pelajar sekolah menengah, apatah lagi bidang itu sering dikaitkan dengan kepakaran jurutera dan penyelidik di institusi pengajian tinggi.

Namun, siapa sangka seramai 360 pelajar daripada empat sekolah menengah di Perlis kini berpeluang mengenali dunia reka bentuk cip menerusi program perintis yang membuka ruang kepada mereka meneroka teknologi semikonduktor seawal usia persekolahan.

Lebih menarik, pelajar yang masih berada di peringkat menengah rendah itu bukan sekadar diperkenalkan kepada teori, sebaliknya diberi peluang mencuba sendiri asas reka bentuk litar bersepadu (IC) menggunakan perisian simulasi dan perkakasan elektronik.

Pendedahan tersebut memberi gambaran awal mengenai teknologi di sebalik penghasilan cip elektronik yang menjadi komponen penting dalam pelbagai peranti moden termasuk telefon pintar, komputer, kenderaan dan sistem automasi industri.

Bagi kebanyakan pelajar, dunia elektronik mungkin lebih dekat dengan penggunaan gajet dalam kehidupan seharian, namun menerusi program itu, mereka diperkenalkan kepada proses asas bagaimana sesuatu litar digital direka dan berfungsi.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi program Future IC Design Engineer and STEM Carnival 2026 yang diterajui barisan pensyarah Pusat Kecemerlangan MiCTEC, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai usaha membina kelompok bakat baharu dalam bidang semikonduktor negara.

Program tersebut bukan sekadar aktiviti pendidikan luar bilik darjah, malah menjadi antara langkah awal memperkenalkan prospek kerjaya bernilai tinggi kepada generasi muda sebelum mereka membuat pemilihan aliran pengajian di peringkat menengah atas.

Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik UniMAP, Prof. Madya Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli berkata, pendedahan awal terhadap bidang Sains, Teknologi,

Kejuruteraan dan Matematik (STEM) amat penting bagi menyokong pembangunan tenaga kerja mahir negara.

“Usaha membina saluran bakat STEM harus bermula di bangku sekolah sekali gus menyokong pembentukan tenaga kerja mahir selari dengan aspirasi Malaysia sebagai pemain utama dalam industri teknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar baru-baru ini.

Menurut beliau, generasi muda perlu terus didorong untuk meneroka bidang baharu khususnya teknologi reka bentuk cip yang mempunyai kepentingan besar terhadap pembangunan industri elektrik dan elektronik.

MUHAMMAD MAHYIDDIN (tengah) bersama kakitangan akademik UniMAP dan guru sekolah terlibat program Future IC Design Engineer and STEM Carnival 2026 di Kangar, Perlis baru-baru ini.

“Teruskan sifat ingin tahu, jangan takut untuk mencuba, dan beranilah meneroka bidang baharu.

“Andalah pelapis dan bakal jurutera reka bentuk IC negara pada masa hadapan,” katanya.

Keistimewaan program tersebut terletak pada pendekatan pembelajaran secara praktikal apabila peserta diperkenalkan kepada penggunaan perisian Tinkercad, simulasi Quartus dan perkakasan Field Programmable Gate Array DE10 Lite bagi memahami asas reka bentuk litar digital.

Menerusi penggunaan teknologi berkenaan, pelajar diberi peluang melihat bagaimana sesuatu reka bentuk digital yang dihasilkan melalui perisian boleh diterjemahkan kepada fungsi litar elektronik menggunakan perkakasan sebenar.

Selain mempelajari asas teknologi, peserta turut mengikuti cabaran reka bentuk litar secara berkumpulan yang menuntut mereka berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan berkesan bagi menyiapkan tugasan diberikan.

Tidak terhenti di situ, Karnival STEM yang dianjurkan serentak turut menampilkan pelbagai pameran pembelajaran interaktif termasuk pengenalan elemen kecerdasan buatan (AI) bagi memperluas pengetahuan pelajar mengenai perkembangan teknologi semasa.

Program jelajah itu bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka pada 22 September lalu, diikuti SMK Syed Sirajuddin pada 1 Oktober, SMK Putra pada 8 Oktober sebelum melabuhkan tirai di SMK Tuanku Lailatul Shahreen pada 15 Oktober dengan penyertaan 90 pelajar dari setiap sekolah.

Pemilihan empat sekolah tersebut turut mengambil kira hala tuju pembangunan Koridor Utara yang memberi penekanan kepada pertumbuhan sektor elektrik dan elektronik sekali gus menyokong aspirasi memperkukuh kedudukan Perlis sebagai hab teknologi tinggi pada masa hadapan.

Dengan pembiayaan geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berjumlah RM13,835.60 serta sokongan bukan kewangan bernilai RM8,200 daripada Fakulti

Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik UniMAP dan IEEE Region 10 (Asia & Pacific) Educational Activities Committee, nilai keseluruhan penganjuran program itu mencecah RM22,035.60.

Walaupun perjalanan untuk melahirkan seorang jurutera reka bentuk cip memerlukan tempoh pembelajaran dan latihan yang panjang, namun usaha memperkenalkan bidang tersebut kepada 360 pelajar ini menjadi titik permulaan penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN