KLANG – Helah menyeludup sebuah kontena sisa elektrik dan elektronik atau e-waste seberat lebih 17 tan sebagai bijih timah terbongkar selepas kontena berkenaan terbakar di Pelabuhan Klang di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.05 pagi ketika kontena berada di atas sebuah lori treler selepas tiba di pelabuhan berkenaan.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pemeriksaan mendapati kontena itu baru tiba dari luar negara dengan muatan seberat 17,237kg.
“Semakan lanjut dokumen mendapati kandungan kontena itu diisytiharkan sebagai bijih timah.
“Namun, pemeriksaan AKPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan kebakaran itu mendapati kandungan sebenar kontena itu 100 peratus sisa e-waste,” katanya petang ini.
Tambah Nik Ezanee, e-waste itu merupakan barang dagangan yang disenarai di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuat kuasa bagi pengimportan mulai 1 April lalu.
“Pengimportan barang dagangan itu tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa kompeten sebelum dibenarkan memasuki negara ini.
“Kes itu disiasat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenal pasti kesalahan termasuk pengisytiharan palsu dan pengimportan barang dagangan terkawal tanpa mematuhi syarat ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














