fbpx
Keadaan premis yang terbakar di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi malam tadi. Foto MEDIA SOSIAL dan JBPM SELANGOR.

[VIDEO] Pekerja sesak nafas, kedai ayam gepuk terbakar 70 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Seorang pekerja wanita warga Indonesia mengalami sesak nafas selepas sebuah premis makanan menjual ayam gepuk di Jalan 7/1C, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.54 malam itu melibatkan sebuah kedai di bangunan dua tingkat dengan kebakaran berlaku di bahagian aras bawah premis berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.54 malam.

Menurutnya, seramai 23 anggota bersama tiga jentera dan sebuah water tanker dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, BBP Semenyih dan BBP Seri Kembangan digerakkan sebelum tiba di lokasi pada pukul 8.02 malam.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kedai di bangunan dua tingkat kelas A berkeluasan kira-kira 2,100 kaki persegi.

“Kebakaran berlaku di aras bawah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 70 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Ashrul Riezal, seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun yang juga pekerja kedai berkenaan mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pihak ambulans Klinik Kesihatan Bangi di lokasi kejadian.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan api marak serta kepulan asap tebal keluar dari bahagian bawah premis itu tular di media sosial.

Rakaman berkenaan turut menunjukkan orang ramai berada di kawasan sekitar premis ketika api sedang marak sebelum kerja-kerja pemadaman dijalankan pasukan bomba.

Seorang pelanggan yang mendakwa berada di tingkat atas premis ketika kejadian turut berkongsi detik cemas dilaluinya.

“Tengah sedap makan kat atas, tiba-tiba ada orang jerit kat bawah. Masa nak turun tangga, asap dah mula tebal tak nampak jalan. Nasib baik selamat,” tulis @Surayaree.

Sementara itu, pemilik kedai makan tersebut menerusi hantaran di Threads memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Pihak premis itu turut memaklumkan hanya mengalami kebakaran yang teruk dan memohon orang ramai mendoakan mereka tabah menghadapi ujian tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN