KUCHING – Seorang remaja perempuan maut, manakala seorang lagi remaja lelaki terselamat selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 5 Permai Jaya, Tupong Ulu, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama bantuan BBP Tabuan Jaya bergegas ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba kira-kira empat minit kemudian, pasukan bomba mendapati rumah teres dua tingkat jenis kekal itu terbakar kira-kira 70 peratus.
“Hasil maklumat awal daripada orang awam mendapati terdapat dua mangsa masih berada di dalam rumah ketika kebakaran berlaku.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan teknik offensive dengan memasuki bangunan yang sedang terbakar bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diberikan rawatan awal di lokasi sementara menunggu ketibaan pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa lelaki dikenali sebagai, Mohd. Rayyan Mohd. Faizal, 14, berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa perempuan dikenali sebagai, Nurmanisha Khamis, 13, disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM di lokasi kejadian,” ujarnya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.14 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.40 pagi. – KOSMO! ONLINE















