fbpx
Penunggang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Jalan Dewan Bahasa, awal pagi tadi.

Elak SJR, rempuh penunggang hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang penunggang motosikal berpatah balik dan melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) membawa padah apabila menyebabkan seorang lagi penunggang maut dalam kemalangan di Jalan Dewan Bahasa, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi membabitkan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR dan sebuah motosikal SYM Maxsym 400.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati penunggang Yamaha Y15ZR, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, dipercayai berpatah balik sebelum menunggang secara melawan arus selepas menyedari terdapat SJR polis kira-kira 50 meter di hadapan.

“Tindakan tersebut menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung secara berdepan dengan sebuah motosikal SYM Maxsym 400 yang ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang SYM Maxsym 400 mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi ketika menerima rawatan di hospital.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati penunggang Yamaha Y15ZR dipercayai bertindak mengelak melalui SJR kerana motosikal yang ditunggang mempunyai aksesori yang tidak lengkap.

“Hasil ujian alkohol dan saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif. Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak sesekali bertindak melawan arus atau melakukan tindakan berbahaya semata-mata untuk mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN