KOTA BHARU – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 50 daripada keseluruhan 865 projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara dikategorikan sebagai ‘sakit’.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sentiasa memantau rapi projek-projek berkenaan dan perkara tersebut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Kabinet.
Katanya, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan diberi mandat mengetuai pasukan pemantauan projek sakit di seluruh negara.
“Setiap projek sakit dikawal dan dipantau rapi supaya dapat menentukan sama ada ia perlu ditamatkan atau diteruskan jika peratusannya hampir siap.
“Terdapat projek yang diberikan lanjutan masa (E.O.T) supaya boleh disiapkan kerana kos tetap meningkat untuk lantikan kontraktor lain sekiranya ia ditamatkan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Projek Naik Taraf Jalan FT209 dan FT131 di Panchor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu, hanya tujuh atau 6.7 peratus projek di Kelantan dikategorikan sebagai ‘sakit’ daripada keseluruhan 104 projek dilaksanakan oleh JKR.
Menururnta, projek sakit di Kelantan antaranya naik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad Maher di sini, pembinaan jambatan Sungai Durian (Kuala Krai), naik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Abdullah (Melor, Kota Bharu) dan naik taraf Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Kota Bharu).
“Turut berada dalam senarai ‘sakit’ adalah pembinaan kolej kediaman Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, naik taraf jalan masuk dan persimpangan Ladang Serasa di Gua Musang selain pembinaan jambatan Kuala Balah di Jeli,” ujarnya.
Alexander berkata, sudah banyak kontraktor ditamatkan kontrak akibat kegagalan menyiapkan projek dan ia bukan suatu keputusan mudah kerana perlu dibuat mengikut tatakelola dengan mengambil kira pelbagai perkara.
“Bukan suka-suka boleh putuskan projek itu sakit dan ditamatkan kontrak. Jika tidak mengikut tatakelola, mungkin dari segi perundangan, kesannya boleh patah balik kepada kita.
“Kita juga perlu ambil kira, jika peratusannya hampir siap, patutkah kita bagi EOT. Apabila tinggal 10 atau 15 peratus untuk disiapkan, kita tamatkan dan terpaksa ambil masa lantik kontraktor baharu sekali gus menyebabkan kos akan bertambah lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














