fbpx
Pemain dram kumpulan Meditasi, Allahyarham Raja Azreen disahkan meninggal dunia pada pukul 10.58 malam tadi selepas rebah ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan, Pahang.

Urusan arwah dipermudahkan, dia anak yang jaga emak – Abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI –  Kasih sayang serta pengorbanan pemain dram kumpulan Meditasi, Allahyarham Raja Azreen Raja Talib terhadap ibunya sepanjang hayat menjadi penguat semangat buat keluarga apabila segala urusan membawa pulang jenazah rocker dari Pahang hingga ke tanah perkuburan dipermudahkan.

Abang sulungnya, Raja Azman Raja Talib, 61, berkata, arwah yang belum pernah berkahwin merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab apabila sedia menjaga ibu mereka, Raja Amnah Raja Osman, 86, di kediaman keluarga di Ulu Yam, Selangor.

Menurutnya, setiap kali tiada persembahan atau urusan kerja, Allahyarham yang bakal mencecah usia 57 tahun pada di Disember ini akan menguruskan keperluan insan kesayangan mereka itu.

“Arwah memang tinggal bersama emak jika tiada persembahan. Mungkin kerana dia sentiasa memudahkan urusan kami adik-beradik dengan menjaga emak, Allah mempermudahkan pula segala urusannya hari ini.

“Saya juga berterima kasih kepada rakannya, Burn (vokalis Meditasi) yang menguruskan perjalanan membawa jenazah arwah dari Kuantan sehingga tiba di sini,” katanya ketika ditemui di Surau Bangi Perdana hari ini.

Mengimbas detik pemergian anak kedua daripada empat bersaudara itu, Raja Azman berkata, adiknya disahkan meninggal dunia pada pukul 10.58 malam tadi selepas rebah ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum di Kuantan, Pahang.

Arwah kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan diberikan bantuan pernafasan, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Katanya, laporan perubatan pihak hospital mengesahkan Raja Azreen meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Allahyarham sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Cyberjaya selama tiga minggu dan disahkan menghidap penyakit jantung serta kencing manis.

“Sebelum ini arwah nampak sihat tetapi bulan lalu dia dimasukkan ke hospital akibat komplikasi jantung dan didapati turut menghidap kencing manis.

“Arwah dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali, yang pertama dua ke tiga minggu kemudian dia dimasukkan ke hospital sekali lagi Jun lalu.

“Sebelum ke Kuantan, arwah sempat menyertai pertandingan basikal kerana dia memang sangat aktif dalam sukan itu. Dahulu arwah juga pernah mengusahakan kedai basikal.

“Bila keadaan kesihatannya semakin baik, dia kembali menyertai pertandingan BMX. Selepas itu, dia terus pergi ke ‘show’ di Kuantan. Mungkin disebabkan terlalu penat memberi kesan kepada jantungnya,” katanya.

Jenazah Allahyarham Raja Azreen tiba di Surau Bangi Perdana pada pukul 7.30 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi selepas zuhur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN