PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di 11 negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, di Kedah, kawasan terlibat ialah Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Menurut kenyataan itu, amaran di Perak pula melibatkan Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.
“Di Pantai Timur, amaran melibatkan Jeli di Kelantan, seluruh Terengganu serta beberapa daerah di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Pekan dan Rompin,” katanya.
Tambahnya, di Selangor, kawasan yang dijangka terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, selain seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bagi Negeri Sembilan, amaran hanya melibatkan daerah Jelebu, manakala di Johor pula membabitkan Tangkak, Muar, Kluang, Kulai dan Kota Tinggi.
Di Malaysia Timur, Sarawak melibatkan Sarikei, Sibu dan Kapit, manakala di Sabah pula kawasan Pantai Barat iaitu Ranau serta daerah Kinabatangan di bahagian Sandakan turut dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat. – KOSMO! ONLINE














