KUALA TERENGGANU – Seorang doktor pakar sebuah hospital swasta dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pesakit kanak-kanak lelaki empat tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli turut menjatuhkan hukuman tujuh sebatan terhadap Dr. Mohd. Syafwan Mohd. Soffian, 42, selain mengarahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan dari penjara.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.
Berdasarkan enam pertuduhan pertama, Mohd. Syafwan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 11 tahun tujuh bulan ketika kejadian di kliniknya di sebuah hospital swasta di sini pada 25 September hingga 10 April 2023.
Bagi pertuduhan ketujuh pula, pegawai perubatan itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi sama pada pukul 8 malam, 9 Oktober 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














