MELAKA – Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh di sini, hari ini atas lima pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya berusia 13, pada Julai lalu.
Tertuduh, yang berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rohatul Akmar Abdullah dan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun bagi maksud seksual.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bukit Baru di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 13 Julai lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh 18 Ogos depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut tidak bersalah atas tiga pertuduhan ugutan jenayah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengugut seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dengan ugutan mahu membakar rumah serta memotong ahli keluarga mangsa di lokasi sama kira-kira pukul 4.35 petang pada 13 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa mengugut Koperal Muhammad Hafiz Zainal Abidin dan Koperal Syafiq Salleh dengan ugutan mahu ‘memotong’ mereka selepas dibebaskan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sungai Putat di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada hari sama.
Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama kerana didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan melemparkan kata-kata lucah dan aib di Balai Polis Bukit Baru kira-kira pukul 5.30 petang pada 13 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Thiviya.
Sharda kemudan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap ketiga-tiga pertuduhan ugutan jenayah memandangkan tertuduh turut berdepan pertuduhan lebih berat di Mahkamah Sesyen dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE














