SHAH ALAM – Masalah lambakan sampah di kawasan penempatan etnik Rohingya di Jalan Kebun di sini berjaya diselesaikan selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan di kawasan itu hari ini.
Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jalan Kebun, Tukiman Maeran berkata, sebanyak dua tan sampah berjaya dibersihkan membabitkan kawasan seluas kira-kira 800 kaki persegi.
Menurut beliau, kerja pembersihan itu mengambil masa kira-kira dua jam bermula pukul 9.45 pagi dengan melibatkan kawasan yang sebelum ini menjadi lokasi pembuangan sampah tidak terkawal.
“Selepas isu ini dibangkitkan, tindakan segera diambil bagi memastikan kawasan berkenaan kembali bersih dan tidak menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk sekitar.
“Sebanyak dua tan sampah berjaya dibawa dibersihkan di lokasi pembuangan sampah tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil tindakan susulan dengan berhubung bersama pemilik rumah sewa supaya menyediakan tong sampah dengan kadar segera bagi memastikan isu sama tidak berulang.
Jelasnya, pemantauan akan dilakukan secara berkala bagi memastikan kebersihan kawasan berkenaan terus terpelihara.
Kosmo! hari ini melaporkan dianggarkan 200 etnik Rohingya mendiami kira-kira 60 buah rumah di dua lot tanah milik tuan tanah berbeza di Jalan Kebun di sini, sejak lima tahun lalu, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai isu keselamatan di kawasan itu.
Bagaimanapun, sekali pun telah lama tinggal di kawasan berkenaan tiada sebarang laporan diterima berkaitan kegiatan jenayah melibatkan komuniti tersebut
Kesemua etnik Rohingya tersebut, mendiami 60 buah rumah termasuk rumah teres dua tingkat.
Namun pada masa, timbul isu sampah di penempatan tersebut dengan kebanyakan etnik Rohingya itu dipercayai memperoleh pendapatan melalui aktiviti mengumpul barangan kitar semula termasuk sampah dan besi buruk di sekitar kampung. – KOSMO! ONLINE














