SANAA – Puak Houthi di Yemen mengisytiharkan kepungan maritim ke atas Arab Saudi semalam, memburukkan lagi perang Amerika Syarikat(AS)-Iran ketika Houthi mengancam kemampuan Arab Saudi selaku pengeksport minyak utama dunia, memintas laluan di Selat Hormuz.
Militia disokong Iran itu tidak memperincikan bagaimana mereka merancang untuk melaksanakan kepungan tersebut. Pengisytiharannya bagaimanapun muncul ketika Iran kembali pada ‘perang berskala penuh’ menentang AS dan ketika Washington serta Tehran berperang untuk mengawal Selat Hormuz.
Kementerian luar Arab Saudi mengecam sekatan maritim Houthi dan mengulangi sokongan Riyadh kepada kerajaan Yemen yang berpangkalan di Aden.
Arab Saudi dan militia Houthi turut berbalas serangan buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun pada minggu lalu, mengancam gencatan senjata 2022 yang bertahan walaupun telah tamat tempoh.
Pertempuran itu tercetus apabila sebuah pesawat Iran cuba mendarat di Sanaa, mencabar penguasaan Arab Saudi ke atas ruang udara Yemen.
Sekiranya berjaya dilaksanakan, sekatan laut Houthi boleh mengakibatkan ekonomi Arab Saudi bertambah meruncing kerana akses kepada pelabuhan Laut Merah terputus. Akses tersebut penting untuk eksport minyak Riyadh memandangkan perang meletus semula yang mengehadkan laluan melalui Selat Hormuz.
Sekatan itu juga dijangka merugikan pasaran global yang bergantung kepada Arab Saudi untuk import tenaga. Negara itu mengeluarkan lebih 10 juta tong minyak mentah sehari. – AFP














