fbpx
CAPE Verde mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati biarpun sekadar meraih tiga mata apabila menduduki tanggak kedua kumpulan. - AFP

Piala Dunia 2026: Tuah tiga bersama Cape Verde

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOUSTON – Cape Verde meneruskan ‘kisah dongeng’ mereka pada aksi Piala Dunia 2026 apabila berjaya memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas muncul naib juara bagi saingan Kumpulan H.

Pendatang baharu Piala Dunia itu memahat sejarah tersendiri untuk meneruskan kemaraan pada penampilan pertama mereka selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Arab Saudi di Stadium Houston pagi semalam.

Lebih manis, wakil Afrika itu juga masih belum tewas dalam sebarang perlawanan apabila mencatat keputusan seri dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan menentang Sepanyol, Uruguay dan Arab Saudi untuk meraih tiga mata dan berada di kedudukan kedua sekali gus layak secara automatik.

Tuah ternyata bersama pasukan itu ketika pasukan lain yang meraih tiga mata perlu merebut lapan slot tempat ketiga terbaik untuk meneruskan saingan, malah Scotland yang meraih tiga mata sepanjang kempen juga hampir pasti tidak layak untuk mara berdasarkan perbezaan jaringan.

Jurulatih Cape Verde, Pedro Leitao Brito menyuarakan rasa bangga dengan pencapaian yang dilakukan anak-anak buahnya, lebih-lebih lagi mereka diramal akan tersingkir awal pada edisi kali ini.

“Kami perlu percaya kepada diri sendiri. Kami juga perlu memasang impian yang tinggi dan bekerja keras untuk merealisasikannya kerana tidak ada perkara mustahil dalam dunia ini, termasuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia.

“Saya sangat bangga dengan apa yang dilakukan oleh pemain dan pasukan sepanjang Piala Dunia ini. Kami berjaya membuktikan bahawa negara kecil seperti Cape Verde mampu melakukannya menerusi kerjasama satu pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, laluan Cape Verde untuk terus melakar keajaiban bukan sesuatu yang mudah apabila dijadualkan berdepan juara bertahan, Argentina pada pusingan 32 pasukan terbaik nanti. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN