MARAN – Kawasan yang menjadi pertikaian melibatkan Orang Asli dekat Kampung Cot di sini bukan kawasan penempatan, sebaliknya kawasan tanah seluas 12.14 hektar yang telah diusahakan Orang Asli dengan tanaman getah dan kelapa sawit tanpa kebenaran yang sah.
Enam Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan terhadap tanah tersebut berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, bukannya daripada Kampung Cot.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, berdasarkan rekod, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan sendiri oleh mereka kepada jabatan berkaitan.
Katanya, hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang mana dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka.
“Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan rekod mendapati Kampung Cot, Maran merupakan sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jakoa.
Hari ini Kosmo! melaporkan kemelut masyarakat Orang Asli Kampung Cot di Maran yang mendakwa memerlukan tanah untuk didiami selepas tanah mereka dibangunkan mendapat perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Iskandariah.
Baginda dilaporkan bertitah mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau di Maran.
Menurut Syed Ibrahim, tanah berkenaan telah diluluskan kepada sebuah oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.
Katanya, bagaimanapun, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta Pejabat Tanah dan Galian, Jakoa serta pejabat daerah dan tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.
“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa isu ini telah diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan.
“Setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undan-undang, fakta serta prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Tambahnya, kerajaan Negeri berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat. – KOSMO! ONLINE














