fbpx
Zizie Izette.

Zizie Izzete lepas, bebas tiga pertuduhan subahat rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Balu kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas atas tiga pertuduhan subahat rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pembelaan Zizie Izzete, 48, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang didakwa terhadap selebriti itu.

Sepanjang prosding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakili peguam-peguam K.Kumaraendran, M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mengikut pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid.

Zizie Izette dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapat kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar untuk memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan serupa.

Bagi pertuduhan ketiga, wanita juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas namanya bagi tujuan sama.

Zizie Izette didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini pada 12 Jun dan 19 Jun 2015 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,

Jika sabit kesalahan, pelakon itu berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 16 Januari lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tiga pertuduhan rasuah itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar yang meninggal dunia pada 5 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN