KAJANG – Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan maut dengan kesan tikaman di kawasan Bandar Mahkota Cheras di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 8.40 pagi.
Menurutnya, sepasukan pegawai polis yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an telah meninggal dunia.
“Mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri ketika ditemukan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal bersama pasukan forensik mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang mengesahkan punca kematian adalah akibat pendarahan di bahagian abdomen berpunca daripada kecederaan tikaman.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis kini menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi-saksi serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














