PETALING JAYA – Tindakan pemain pertahanan kiri Sepanyol, Marc Cucurella dengan selamba membawa trofi Lego Piala Dunia 2026 dalam bungkusan plastik, mengundang gelak ketawa pengguna media sosial yang terhibur dengan gelagatnya.
Menerusi beberapa video tular di media sosial dikongsikan pengamal media antarabangsa yang bertugas di Piala Dunia 2026, pemain-pemain Sepanyol dilihat melalui laluan khas dengan piala asli dibawa oleh ketua pasukan Sepanyol, Rodri atau nama sebenar, Rodrigo Hernandez Cascante.
Pemain-pemain lain pula membawa trofi Lego masing-masing, namun yang mencuri perhatian pengguna media sosial apabila gaya Cucurella meletakkannya di dalam bungkusan plastik.
“Weh, Cucurella bungkus trofi macam bungkus makanan nak bawa balik hotel weh,” komen pengguna Threads Akeemsharyzal.
“Macam bungkus ikan emas beli kat kedai aquarium,” kata Izan Meow.
“Macam nak pergi buang sampah depan rumah, dengan video jalan macam nak tersungkurnya,” komen Hanyhusain.
“Dia dapat Lego, dia simpan macam tu je,” komen Darren Crossculcha.
Terdahulu, penantian 26 tahun Sepanyol untuk bergelar juara dunia berakhir selepas berjaya kalahkan juara bertahan, Argentina pada aksi final Piala Dunia 2026 di Stadium New Jersey.
Jaringan tunggal Ferran Torres pada masa tambahan sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan kedua buat La Roja sekali gus menafikan hajat Argentina untuk muncul negara ketiga yang berjaya pertahankan kejuaraan. – KOSMO! ONLINE














