KUALA LUMPUR – Sebanyak 8,014 pertuduhan berkaitan jenayah penipuan dalam talian direkodkan setakat Mei lalu melepasi jumlah keseluruhan 6,140 pertuduhan yang dicatatkan sepanjang 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan itu membuktikan jenayah penipuan online berada pada tahap membimbangkan dengan kerugian kewangan yang semakin besar kepada rakyat.
Menurut beliau, keadaan itu menuntut penggubalan undang-undang jenayah siber yang lebih menyeluruh dan komprehensif bagi menangani ancaman siber yang semakin canggih.
“Setakat Mei lalu, seramai 10,245 individu ditangkap membabitkan pelbagai kes penipuan dalam talian dengan tangkapan tertinggi melibatkan jenayah telekomunikasi, e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah tangkapan terus meningkat daripada 16,244 orang pada 2022 kepada 23,753 orang pada 2025, sekali gus mencerminkan tindakan agresif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket penipuan online.
“Statistik ini menunjukkan fokus penguatkuasaan terhadap sindiket yang paling aktif dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
RUU Jenayah Siber 2026 yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 serta memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.-KOSMO! ONLINE.














