PETALING JAYA – Tadika yang didakwa melakukan pengabaian dan layanan tidak wajar ke atas kanak-kanak di Langkawi tetap akan dipantau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meskipun premis itu bukan di bawah seliaan agensi itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, pendekatan itu diambil bagi melindungi dan mmastikan aspek kebajikan kanak-kanak terlibat tidak terabai.
Ini kerana katanya, setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang selamat, dilindungi dan penuh kasih sayang.
“Berhubung kes yang berlaku di sebuah tadika di Langkawi, saya ingin menjelaskan bahawa premis berkenaan adalah tadika, bukannya taska.
“Justeru, urusan pendaftaran dkan pengawalseliaannya adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Walaupun tadika bukan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), JKM tetap memainkan peranan dari aspek perlindungan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, Pelindung Kanak-Kanak JKM telah memberikan khidmat nasihat kepada waris agar tidak menghantar anak ke tadika tersebut sementara siasatan dijalankan.
Selain itu, mereka akan berhubung rapat dengan pihak PPD bagi mendapatkan perkembangan kes, serta memberikan teguran dan khidmat nasihat kepada pihak tadika berkaitan aspek penjagaan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
Malah katanya, pihak polis juga sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak berkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak tidak boleh dikompromi.
“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan yang sewajarnya dan membesar dalam persekitaran yang selamat,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang bekas guru yang diberhentikan kerja di tadika berkenaan pada Rabu lalu telah membuat satu laporan polis berkaitan kes penderaan dan pengabaian di premis tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, guru berkenaan mendakwa kanak-kanak di tadika itu dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam, selain beberapa daripada mereka didakwa pernah dikunci di dalam tandas. – KOSMO! ONLINE














