fbpx
BELLA mengakui adakalanya penat menjadi kuat namun dia harus positif dalam semua perkara kerana yakin ada hikmah indah sedang menanti.

‘Menjadi kuat bukan bermaksud saya tidak pernah penat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Bella Astillah mengakui dia juga pernah berasa penat dan pernah hilang arah dalam menjalani kehidupan, meskipun sering dilihat sebagai seorang wanita yang tabah serta kuat.

Bella, 33, berkata, dia bukan seorang yang gemar meminta bantuan daripada orang lain kerana lebih selesa menyelesaikan sesuatu perkara sendiri jika masih mampu berbuat demikian.

“Saya bukan individu yang pandai meminta banyak malah sentiasa percaya, kalau rasa mampu melakukan sesuatu perkara sendiri, maka saya patut teruskannya.

“Mungkin sebab itu orang fikir saya kuat. Namun menjadi individu yang kuat bukan bermaksud saya tidak pernah penat.

“Kekuatan itu cuma bermakna saya sudah belajar cara untuk terus melangkah, walaupun adakalanya saya sedikit hilang arah,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Menurut Bella, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan keletihan, dia tetap memilih untuk memberikan jawapan yang positif apabila ditanya mengenai keadaannya.

Katanya, tidak semua perkara yang dilalui perlu dikongsikan kepada umum kerana ada perasaan yang lebih mudah dipendam daripada diluahkan kepada umum.

“Jadi kalau awak tanya tentang saya, mungkin akan tersenyum dan beritahu saya okey saja.

“Bukan kerana semuanya sempurna, tetapi disebabkan ada sesetengah perasaan lebih mudah dipikul daripada dijelaskan.

“Perkara positif akan sentiasa membawa kepada perkara yang baik. Percayalah dan semoga kalian semua menjalani hari yang indah,” ujarnya.

Sebelum ini, tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq itu menerima gelaran sebagai wanita besi kerana dilihat tabah dalam berdepan pelbagai ujian hidup terutama berkaitan kontroversi rumah tangga dengan bekas suami, Aliff Aziz.

Dia bahkan sering menjadi sasaran kecaman netizen mengenai kualiti nyanyian, pakaian yang digayakan dan hubungan cinta dengan Syed Saddiq.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN