fbpx
ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu van yang maut dalam kemalangan di Batu 34 Jalan Kuala Sin di Sik, hari ini. - Ihsan JBPM KEDAH

Isteri bekas ADUN Belantik cedera nahas dengan treler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk treler di Batu 34, Jalan Kuala Sin, di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 8 pagi itu adalah pemandu van, manakala pemandu dan penumpang kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-Trail cedera ringan.

Salah seorang penumpang Nissan X-Trail ialah Datin Norasima Md. Nowar iaitu isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.20 pagi.

“Pusat Gerakan Operasi dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan treler membawa kontena, Nissan X-Trail dan van Toyota Hiace. Terdapat mangsa yang tersepit,” katanya.

Berdasarkan maklumat orang awam, nahas dipercayai berpunca apabila treler tersebut terbabas lalu menghempap van, sebelum Nissan X-Trail terbabas dan melanggar treler berkenaan.

“Terdapat dua mangsa di dalam Nissan X-Trail masing-masing lelaki dan wanita dewasa yang cedera ringan. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sik bagi mendapatkan rawatan. Pemandu treler tidak cedera,” ujarnya.

Tambahnya, pemandu van tersepit dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan khas. Operasi turut dibantu pasukan bomba sukarela dari Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN