KLANG – Misteri identiti lelaki yang tular berjalan dalam keadaan bogel di atas bumbung sebuah rumah teres di Taman Sri Andalas di sini semalam akhirnya terungkai apabila dia didapati merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Lelaki berusia 37 tahun itu turut disiasat atas tiga kesalahan membabitkan khianat, perbuatan kelucahan melampau serta melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu disedari orang awam yang melihat suspek berjalan dalam keadaan bogel di atas bumbung sebuah rumah sebelum pihak bomba dipanggil bagi membantu menurunkannya.
“Suspek berjaya diturunkan dalam keadaan selamat dengan bantuan anggota bomba sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 dan 377D Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jit Huey turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menyebarkan rakaman video kejadian di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.
Kosmo! semalam melaporkan tindakan seorang lelaki dipercayai kurang siuman berjalan di atas bumbung sebuah rumah teres dalam keadaan bogel menggemparkan penduduk di Taman Sri Andalas.
Rakaman kejadian itu tular di media sosial sebelum anggota bomba berjaya membawa turun suspek dari bumbung rumah berkenaan. – KOSMO! ONLINE














