KOTA BHARU – Seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar yang ditahan selepas dipercayai menerima rasuah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing telah ditahan kerja.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, tindakan itu dibuat bagi membolehkan siasatan ke atas anggota tersebut dijalankan secara menyeluruh oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Katanya, tindakan itu dilakukan secara bersama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Proses itu merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan yang dijalankan pihak polis.
“Tindakan lanjut akan diputuskan selepas siasatan selesai,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah terhadap anggota keselamatan berusia 41 tahun itu dibenarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid semalam.
Difahamkan, suspek dipercayai menerima wang itu daripada warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – KOSMO! ONLINE














