KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menetapkan kewajipan kepada 56 ketua balai polis di negeri ini untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ketetapan itu dibuat berikutan balai polis mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat sekali gus memudahkan proses tangkapan ke atas individu yang terjebak dadah.
Katanya, misi untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari itu dilakukan selama tiga bulan sehingga Oktober ini sebelum semakan mengenai keberkesanannya dikaji semula.
“Kita mewajibkan ketua balai tangkap seorang penagih dadah setiap hari. Ketua polis daerah, fokus kepada tangkapan pengedar dadah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK pula menangkap tokan besar atau sindiket.
“Sebelum ini, kita menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) apabila menahan 85 penagih dadah setiap hari di Kelantan. Sekarang kita buat ketetapan baharu bermula dari peringkat akar umbi terutama ketua balai yang pastinya tahu mengenai kewujudan penagih dadah di tempat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, melalui ketetapan baharu itu, mana-mana pegawai dan anggota yang gagal mencapai KPI tersebut akan dikenakan tindakan.
Beliau yakin ketetapan tangkapan secara harian itu akan membuatkan pengedar dadah lebih gerun untuk menjalankan kegiatan mereka.
“Kita mahu kerat (banteras) di peringkat akar umbi lagi. Jadi, ketua balai perlu memainkan peranan untuk menangkap seorang penagih setiap hari.
“Apabila isu dadah dapat diselesaikan, saya yakin kes jenayah lain juga dapat ditangani. Berdasarkan siasatan, dadah sememangnya menjadi punca kepada segala kes jenayah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














