KUALA PERLIS – Seekor ikan lumba-lumba seberat kira-kira 120 kilogram ditemukan mati terdampar di Pantai Kurung Tengar, di sini semalam.
Pengarah Perikanan Perlis, Muhammad Nur Ashry Bassari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bangkai mamalia marin itu kira-kira pukul 5 petang.
“Lima anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas laporan diterima.
“Pasukan tiba pada pukul 5.45 petang dan mendapati bangkai lumba-lumba berkenaan berada di atas batu benteng pemecah ombak,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bangkai lumba-lumba itu dibawa ke darat bagi membolehkan proses pengumpulan data dan pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Pemeriksaan mendapati tiada kesan luka pada badan mamalia berkenaan yang berukuran kira-kira 222 sentimeter panjang. Bangkai itu kemudiannya ditanam di lokasi lain, manakala sampelnya turut diambil untuk tujuan kajian asid deoksiribonukleik,” ujarnya.
Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan Perlis Nature Xplorer (PNX) dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook berkata, bangkai hidupan itu adalah lumba-lumba jenis Irrawaddy atau lebih dikenali sebagai empesut. – KOSMO! ONLINE














