BANGKOK – Sebuah trak pikap dipandu oleh seorang budak lelaki berusia 11 tahun melanggar sekumpulan sami yang sedang dalam perjalanan keagamaan di wilayah Mukdahan hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan sami Buddha terbunuh dan lebih 13 yang lain cedera, lapor laman berita Thailand.
Nahas berlaku kira-kira pukul 11.55 pagi (waktu tempatan) di laluan masuk jalan utama berhampiran pintu masuk ke Huai Sing di mukim Na Si Nuan, daerah Mueang.
Pasukan penyelamat dan pasukan perubatan bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera.
Polis berkata, lima sami meninggal dunia di tempat kejadian, manakala 3 lagi menemui ajal di hospital.
Seramai 13 lagi sami mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Mukdahan serta hospital berdekatan yang lain. Sebilangan sami lain pula cedera ringan.
Trak pikap yang terlibat dikenal pasti sebagai Isuzu berwarna gangsa-emas. Menurut polis, kenderaan itu dipandu oleh seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang mengambil trak pikap ibu bapanya tanpa kebenaran sebelum hilang kawalan dan merempuh kumpulan sami tersebut.
Amarin TV melaporkan, kumpulan 34 sami itu telah mengembara dengan berjalan kaki dari Mukdahan menuju Ubon Ratchathani. – AGENSI














