GEORGE TOWN – ‘Harap mak cik dapat jumpa dia, walau macam mana keadaan sekalipun’.
Demikian menurut ibu kepada Shahir Zainul, 46, lelaki yang dilaporkan hilang di sebuah dusun durian di Pusat Pertanian Relau, Jalan Lebuh Bukit Jambul di sini sejak 10 Jun lalu.
Menurut Salmah Shamsudin, 72, dia semakin dibelenggu keresahan setiap kali mengenangkan keadaan yang dihadapi anak bongsu daripada dua beradik itu yang sehingga kini langsung tidak menunjukkan sebarang petunjuk.
“Tapi, hari ini mak cik berasa lega sikit selepas dapat tahu pasukan bomba dan polis sudah memulakan operasi pencarian di dusun durian, tempat motosikal dan topi keledarnya ditemui.
“Naluri mak cik kuat mengatakan yang dia (Shahir) ada di sini. Sebab jumpa motosikal di tepi jalan ini beserta topi keledar di tepi laluan masuk ke dusun.
“Mak cik harap dapatlah berjumpa dengan dia. Hidup atau mati tu kita serah pada Allah. Sebab yang tu bukan kerja kita. Sudah sebulan lebih dah, mak cik pun risaulah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah dusun durian di Pusat Pertanian Relau di sini, tadi.
Salmah memberitahu lagi, tiada sebarang pertelingkahan serius berlaku antara mereka dua beranak sebelum anaknya itu keluar dari kediaman pada 10 Jun lalu.
“Biasalah ibu tegur anak, tegur pasai anak-anak. Kalau dia merajuk sekalipun dia tak pernah tak balik rumah. Tapi kali ini tak sangka pula, dia tak balik lama.
“Macam-macamlah dalam kotak fikiran ketika ini. Tapi mudah-mudahan, macam mana pun, makcik harap dapat temui dia,” katanya sebak.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan perselisihan faham dengan ibunya berkaitan wang dipercayai menjadi punca bapa dua anak itu keluar dari rumahnya di Bukit Gedung di sini, sebelum dia dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dilaporkan berkata, ini berdasarkan siasatan yang dijalankan pihaknya selepas pengadu iaitu ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 12 Jun lalu. -KOSMO! ONLINE














