fbpx
Izani (dua dari kanan) semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Projek LRA Merbau Chondong di Machang hari ini.

LRA Merbau Chondong bekal 70 juta liter air sehari ke tiga daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Kira-kira 34,000 akaun pengguna di Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu Selatan bakal menikmati bekalan air lebih stabil apabila projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong siap sepenuhnya penghujung bulan ini.

Projek bernilai RM11.5 juta itu meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat loji berkenaan daripada 45 juta liter sehari (JLH) kepada 70 JLH menerusi penambahbaikan infrastruktur, mesin, peralatan serta sistem proses rawatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr. Izani Husin berkata, ia sekali gus memastikan bekalan air dapat memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat selain menambah baik kualiti air terawat yang disalurkan.

Katanya, kapasiti pengeluaran sebanyak 45 JLH sebelum ini tidak mampu menampung permintaan semasa sehingga memberi kesan kepada proses rawatan air dan kualiti bekalan kepada pengguna.

“Loji berkenaan sebenarnya berupaya menerima sehingga 70 hingga 88 JLH, namun pengoperasian awal akan ditetapkan pada kapasiti 70 JLH bagi memastikan sistem berfungsi secara optimum.

“Selain meningkatkan kuantiti bekalan, beberapa penambahbaikan turut dilaksanakan bagi memastikan kualiti air yang disalurkan kepada pengguna berada pada tahap terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Projek LRA Merbau Chondong di sini hari ini.

Izani memberitahu, antara kerja yang sedang dijalankan termasuk pembersihan tangki air bahagian atas dan bawah selain kerja mekanikal bagi memastikan air yang keluar daripada tangki mengekalkan kualiti sama seperti yang dirawat di loji.

Menurutnya, selepas projek itu siap sepenuhnya, air terawat yang dibekalkan kepada pengguna dijangka mencapai tahap kekeruhan sekitar tiga Nephelometric Turbidity Unit (NTU) sekali gus lebih bersih berbanding sebelum ini.

“Semua kerja pembinaan dan pemasangan dijangka siap pada penghujung bulan ini sebelum sistem menjalani ujian pengoperasian.

“Bekalan air terawat daripada loji yang dinaik taraf ini dijangka mula disalurkan kepada pengguna pada awal September,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Izani berkata, projek pembinaan LRA Machang 1 berkapasiti 50 JLH kini berada di peringkat akhir pemeteraian perjanjian antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan kerajaan negeri.

Katanya, selepas perjanjian dimuktamadkan, proses tender akan dibuka bagi membolehkan pembinaan loji baharu itu dimulakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN