KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Operasi Sita Cukai Taksiran di Hicks Flat, Jalan Changkat Bukit Bintang di sini semalam.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu melibatkan 15 akaun yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi pengeluaran Waran Tahanan (Borang F) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi mendapatkan kembali tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan.
“DBKL akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi yang dikenal pasti mempunyai tunggakan cukai taksiran sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pematuhan terhadap peruntukan undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, semua pemilik harta disaran menyemak status akaun cukai taksiran masing-masing dan menjelaskan sebarang tunggakan dengan segera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil. – KOSMO! ONLINE














