fbpx
Sebahagian wang KWSP yang dikeluarkan digunakan untuk masa kecemasan dan meneruskan kehidupan.

‘Bila tengok baki, memang menyesal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang penca­rum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengakui masih belum dapat melupakan keputusan mengeluarkan wang ketika pandemik Covid-19, walaupun wang itu digunakan bagi tujuan kecemasan.

Asril Aswandi Shukor, 47, berkata, pengeluaran tersebut dibuat ketika berdepan pelbagai tekanan hidup termasuk pandemik Covid-19 dan bencana banjir besar yang melanda kawasan Padang Jawa di sini.

Menurutnya, wang yang dikeluarkan itu digunakan untuk membaiki dua buah kereta iaitu Honda City dan Proton Satria serta sebuah motosikal Honda Dash yang rosak akibat banjir dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM25,000.

“Memang ada rasa terkilan kerana duit persaraan sudah berkurangan, tetapi pada masa itu keperluan sangat mendesak. Covid-19 belum reda, kemudian datang pula musibah banjir.

“Kalau diberi pilihan sekali lagi, saya tetap akan keluarkan wang KWSP kerana ketika itu saya perlukan wang tunai untuk meneruskan kehidupan dan menyelesaikan masalah yang ada,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.

Asril berkata, beliau turut menerima bantuan kira-kira RM5,000 daripada ahli keluarga, zakat dan pejabat tempatnya bekerja bagi meringankan beban selepas bencana tersebut.

Mengulas mengenai usaha menggantikan semula simpanan yang dikeluarkan, beliau me­ngakui proses itu bukan mudah dan masih bergantung kepada caruman bulanan melalui poto­ngan gaji.

“Setakat ini saya masih me­ngumpul semula melalui poto­ngan gaji setiap bulan. Belum ada perancangan khusus bila jumlah itu dapat diganti sepenuhnya.

“Buat masa sekarang, saya teruskan mencarum seperti biasa dan biarkan wang itu berkembang sehingga umur persaraan,”ujarnya.

Menurut Asril, setiap individu mempunyai keperluan dan komitmen kewangan yang berbeza sehingga mempengaruhi keputusan masing-masing ketika krisis melanda.

“Terpulang kepada individu menguruskan kewangan mereka. Kehendak dan tanggungan setiap orang tidak sama.

“Dalam keadaan saya ketika itu, pengeluaran KWSP memang membantu menyelesaikan masalah yang mendesak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN