PETALING JAYA – Luahan seorang calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) 2026 yang memohon pandangan mengenai cara menukar kampus selepas ditawarkan melanjutkan pengajian mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi hantaran di Threads, pelajar itu berkata, dia dijadualkan mendaftar pada 10 Ogos ini, namun berdepan kesukaran kerana harga tiket penerbangan ke Sabah terlalu mahal.
Menurutnya, ibu bapanya daripada golongan B40 dan dia buntu mencari wang dalam tempoh singkat, namun tetap berhasrat menyambung pengajian di IPG.
“Hi, ada ke siapa-siapa tahu macam mana nak tukar kampus? Saya fasa 2, hari daftar 10 Ogos, tiket flight mahal sangat. Parents (Ibu bapa) saya B40, macam mana nak dapat duit dalam masa terdekat. Saya nak sangat masuk IPG,” tulisnya.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian Fadhlina yang meminta pelajar berkenaan meninggalkan nombor telefon untuk tindakan lanjut.
“Assalamualaikum. Adik tinggalkan nombor telefon. Saya minta pegawai saya hubungi. Jangan risau, kita bantu,” balas beliau.
Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, pelajar tersebut ditawarkan mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) 2026 dalam bidang Matematik Pendidikan Rendah melalui laluan perdana di Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran, Sabah. – KOSMO! ONLINE














