ALOR SETAR – Temasya Orang Kedah (TOK) 2026 terus mendapat sambutan luar biasa apabila dianggarkan 550,000 pengunjung membanjiri pekarangan Stadium Darul Aman, di sini sejak penganjurannya pada Khamis lalu dan berakhir malam ini.
Temasya kali keenam itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah, Kedah Tourism dan Nabilah Bahrin Group Sdn. Bhd.
Dengan slogan ‘pakat mai meneqhu’, TOK mengetengahkan keunikan seni, budaya, warisan, gastronomi dan gaya hidup masyarakat Kedah bagi menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta merancakkan pelancongan budaya negara.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, Kalendar Pelancongan Budaya sempena VM2026 bagi setiap negeri telah disusun sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan negara melalui pengisian seni, budaya dan warisan.
‘TOK merupakan program di bawah Pelancongan Budaya yang ketujuh anjuran MOTAC melalui JKKN pada tahun ini.
“Langkah strategik ini bertujuan mengangkat kebitaraan seni tempatan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi yang bukan sahaja berupaya menjana pulangan ekonomi, malah berperanan sebagai medium pendidikan, promosi serta pengukuhan identiti seni dan budaya negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TOK 2026 di sini malam kelmarin.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan menyempurnakan majlis perasmian temasya tersebut. TOK menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kesenian, pameran pelbagai agensi, permainan tradisi orang dulu-dulu serta demonstrasi dan jualan makanan tradisi.
Kata Shaharuddin, kementerian amat menghargai keterbukaan dan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuhkan usaha pelestarian seni, budaya dan warisan agar terus dilaksanakan secara berterusan.
“Komitmen ini turut dizahirkan menerusi pemerkasaan warisan seni negeri seperti Teater Tradisional Mek Mulung yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah kategori Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera pada 2023,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai manifestasi sokongan berterusan MOTAC, sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan kebudayaan di negeri ini telah menerima manfaat daripada Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM895,000 pada tahun lalu.
Sementara itu, pada sidang akhbar, beliau berkata, kehadiran pengunjung termasuk dari dalam dan luar negara amat menggalakkan sejak hari pertama penganjuran TOK 2026.
“Temasya Orang Kedah ini merupakan antara produk pelancongan domestik yang kita jadikan sebagai acara ikonik atau signature event negeri Kedah. Melalui program seperti ini, kita dapat menggalakkan rakyat melancong dalam negara, sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penganjuran TOK merupakan manifestasi kecintaan terhadap warisan seni budaya yang diwariskan turun temurun. -KOSMO! ONLINE














