fbpx
ANGGOTA bomba memadam kebakaran premis yang dijadikan bilik sewa di Lorong Manggis, Batu 36, Jalan Johor-Pontian yang terbakar dalam kejadian pada 27 Ogos 2025.

Risiko rentung dalam rumah ‘sarang burung’ sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PREMIS yang diubah suai secara haram menjadi puluhan bilik sewa sempit atau lebih dikenali sebagai rumah ‘sarang burung’ semakin membimbangkan apabila kebanyakannya gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran.

Lebih membimbangkan, premis yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa, selain hanya mempunyai satu laluan keluar, sistem keselamatan kebakaran tidak berfungsi, pengudaraan yang lemah dan ruang yang terlalu sempit.

Keadaan itu bukan sahaja mendedahkan penghuni kepada risiko kebakaran, malah boleh bertukar menjadi ‘perangkap maut’ apabila berlaku kecemasan kerana penghuni berisiko terperangkap sebelum sempat menyelamatkan diri.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai ancaman tersebut, wartawan KOSMO! AHAD, Mohd. Sharkawi Londing, mewawancara Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir mengupas isu ini.

KOSMO! AHAD: Sejauh mana seriusnya ancaman kebakaran melibatkan premis yang diubah suai menjadi bilik sewa atau ‘sarang burung’?

SITI ROHANI: Ancaman ini sangat serius kerana kebanyakan premis diubah suai tanpa mendapatkan kelulusan pelan daripada pihak berkuasa. Premis asal merupakan rumah kedai tetapi dipecahkan kepada banyak bilik kecil untuk dijadikan asrama atau bilik sewa.

Pengubahsuaian seperti ini biasanya tidak mengambil kira aspek keselamatan kebakaran.

Jika berlaku kebakaran, penghuni berisiko tinggi terperangkap kerana laluan keluar tidak mencukupi dan sistem keselamatan kebakaran tidak disediakan mengikut piawaian.

SITI ROHANI memberitahu, bagi bangunan yang dijadikan asrama atau tempat tidur, sekurang-kurangnya perlu ada dua laluan keluar bagi membolehkan penghuni menyelamatkan diri bila berlaku kebakaran.

Apakah pelanggaran paling kerap ditemui sehingga premis ini disifatkan sebagai perangkap maut?
Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah laluan keluar kecemasan yang tidak mencukupi, tangga tunggal, pintu keluar dihalang, lampu kecemasan tiada atau tidak berfungsi, sistem pengesan asap tidak disediakan serta keadaan pengudaraan dan pencahayaan yang tidak memuaskan.

Semua faktor ini boleh menyebabkan penghuni gagal menyelamatkan diri apabila berlaku kebakaran.

Bagaimanakah modus ­operandi kewujudan premis ‘sarang burung’ ini?
Berdasarkan siasatan dan risikan pihak kami mendapati, kebanyakan pemilik premis me­nyerahkan pengurusan bangunan kepada ejen dan pihak ketiga.

Premis ini diubahsuai kepada petak-petak bilik kecil untuk ­disewakan.

Ejen akan membuka iklan berkaitan bilik sewa melalui media sosial pada kadar sewa se­rendah RM350 hingga RM550 sebulan.

Pelanggan mereka atau penyewa pula terdiri daripada individu bujang dan ada juga keluarga yang bekerja di sekitar Johor Bahru serta ada juga yang bekerja di Singapura.

Sejauh mana sempitnya saiz bilik yang ditemui dan kea­daan rumah ‘sarang burung ini’?
Kebanyakan bilik hanya berkeluasan sekitar tiga meter kali tiga meter atau empat meter kali tiga meter.

Bilik ada dihuni individu bujang dan berkeluarga, saiz memang sempit dan pengudaraannya juga tidak bagus selain hanya terdapat dua bilik air serta ruang memasak kecil di bahagian belakang.

Keadaan premis juga kotor, berbau busuk dan boleh me­ngundang risiko kesihatan kerana terdapat haiwan perosak se­perti tikus, lipas dan sebagainya.

Saiz ini amat sempit dan apabila dihuni bersama barangan peribadi, ruang untuk bergerak menjadi sangat terhad sekiranya berlaku kecemasan.

LALUAN masuk ke 15 bilik sewa di sebuah premis perniagaan rumah kedai di Larkin Jaya, Johor Bahru.

Mengapa premis seperti ini begitu berbahaya ketika kebakaran?
Kebanyakan premis hanya mempunyai satu tangga keluar. Untuk bangunan yang dijadikan asrama atau tempat tidur, sekurang-kurangnya perlu mempunyai dua laluan keluar bagi membolehkan penghuni menyelamatkan diri.

Jika api merebak dan laluan tunggal itu terhalang, penghuni boleh terperangkap hingga ­me­ngakibatkan kehilangan nyawa.
Bilik pula dibina menggunakan papan atau kayu, jika berlaku kebakaran, material ini mudah terbakar dan mengundang risiko kebakaran.

Adakah JBPM pernah merekodkan kejadian tragis melibatkan premis seperti ini?
Ya. Kita pernah mempunyai kes di Pontian pada 27 Ogos 2025 melibatkan premis diubah suai menjadi asrama pekerja. Kejadian itu melibatkan kehilangan dua nyawa warga asing masing-ma­sing berusia 31 dan 37 tahun. ­Jasad mereka ditemuikan rentung di kasawan tingkap dan bawah runtuhan bumbung.

Manakala empat lagi penghuni dikejarkan ke Hospital Pontian selepas mengalami kecederaan melecur terkena api kebakaran ketika menyelamatkan diri semasa kejadian pada pukul 11 pagi.

Berdasarkan rekod operasi JBPM bagi tempoh Januari hingga Julai lalu, terdapat sekurang-kurangnya sembilan kes kebakaran melibatkan premis digunakan sebagai rumah pekerja, asrama pekerja, rumah kongsi dan rumah kedai yang dijadikan penginapan pekerja.

Bagaimanapun, JBPM tidak mempunyai statistik khusus yang mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai berpunca daripada premis diubah suai menjadi bilik sewa sempit atau struktur tambahan di atas bumbung.

Penentuan status premis sama ada diubah suai secara sah atau tidak adalah tertakluk kepada siasatan pihak polis.

 

Apakah tindakan JBPM untuk memastikan keselamatan penghuni terjamin?
JBPM Johor bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Polis Diraja Malaysia akan menjalankan operasi bersepadu terhadap premis yang disyaki diupah suai secara haram dan tidak mendapat kelulusan daripada PBT secara berkala atau berfasa di seluruh negeri.

JBPM akan mengenal pasti pemilik premis sebelum mengeluarkan notis supaya semua bahaya kebakaran dihapuskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Jika selepas tempoh itu mereka masih gagal mematuhi arahan, tindakan pendakwaan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Berapa banyak notis boleh dikeluarkan bagi satu premis?
Setiap kesalahan merupakan satu notis berasingan. Sebagai contoh, jika terdapat kesalahan melibatkan lampu kecemasan, laluan keluar,
halangan laluan dan beberapa aspek lain, setiap satunya boleh dikenakan notis.

Untuk sebuah premis sahaja, kita menjangkakan lebih 10 notis boleh dikeluarkan bergantung kepada jumlah pelanggaran yang dikesan.

Apakah syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesebuah premis diubah suai menjadi asrama atau bilik sewa?
Pemilik perlu mengemukakan pelan pindaan kepada pihak berkuasa tempatan dan JBPM untuk mendapatkan ulasan serta kelulusan terlebih dahulu.

Apabila fungsi bangunan berubah daripada premis kedai kepada tempat penginapan, semua keperluan keselamatan kebakaran juga berubah dan perlu memenuhi syarat ditetapkan.

Apakah nasihat JBPM kepada pemilik premis dan orang ramai?
Pemilik premis perlu memastikan setiap pengubah­suaian mendapat kelulusan pihak berkuasa sebelum kerja dijalankan. Jangan mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan penghuni.

Bagi orang ramai pula, pastikan premis yang ingin disewa mempunyai laluan keluar selamat, sistem keselamatan kebakaran berfungsi dan tidak terlalu sesak.

Jangan memilih tempat tinggal murah jika ia mengorbankan aspek keselamatan kerana apabila kebakaran berlaku, beberapa saat sahaja boleh menentukan antara hidup dan mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN