fbpx
Bazli UNIC mengakui pengalaman pahit meninggalkan kesan mendalam hingga membuatkan dirinya lebih berhati-hati menerima tawaran konsert - SADDAM YUSOFF

Trauma dibayar lewat, UNIC kini lebih ‘keras’ soal kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pernah berdepan situasi bayaran tertunggak, anggota kumpulan UNIC, Bazli mengakui pengalaman pahit tersebut meninggalkan kesan mendalam hingga membuatkan dirinya lebih berhati-hati menerima tawaran konsert.

Ujar Bazli atau nama sebenarnya, Bazli Hazwan Che Osman, 42, setiap peluang kini diteliti sehalus mungkin, terutama melibatkan dokumentasi dan perjanjian agar insiden sama tidak berulang.

“Mungkin ada syarat-syarat tertentu kami letakkan supaya perkara sama tidak berulang. Hakikatnya, kes ditipu dalam industri ini memang banyak berlaku.

“Bukan sahaja kepada penyanyi, malah ada kisah lebih teruk sampai jadi ‘cerita seram’. Jadi, apa kami dapat adalah pengajaran buat UNIC dan artis lain. Dokumentasi sangat penting.

“Orang luar tetap orang luar. Walau sebaik mana pun layanan, kita perlu ada perjanjian bertulis dan rekod jelas. Itu perkara kami sedang belajar sekarang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambahnya, pengalaman tersebut turut membuka mata tentang kepentingan pengurusan profesional dalam dunia seni.

“Kadang-kadang artis sendiri tidak tahu urus dokumentasi. Sebab itu penting ada pasukan atau wakil profesional untuk urus acara besar.

“Kita memang rasa trauma, tetapi setiap masalah datang bersama pengajaran. Setiap orang baru kita jumpa, setiap situasi baharu, semuanya beri ilmu.

“Satu lagi, orang suka berjanji manis perlu diberi perhatian. Jangan mudah terpedaya dengan janji terlalu tinggi, biar realistik,” ujarnya pada sidang media konsert Malam Qolbu, di sini, hari ini.

Terdahulu, isu kelewatan bayaran melibatkan kumpulan nasyid popular itu menjadi bualan hangat apabila penganjur konsert gagal melunaskan bayaran seperti dipersetujui.

Anggota lain iaitu Fitri Haris sebelum ini tampil membuat laporan polis selain menuntut bayaran tertunggak berhubung konsert This Is UNIC.

Selepas penantian lebih empat bulan, kemelut akhirnya menemui titik noktah apabila penganjur melunaskan sepenuhnya bayaran berjumlah RM106,000 kepada kumpulan tersebut.

Perkembangan itu dikongsi Fitri menerusi media sosial dengan meluahkan rasa syukur atas penyelesaian yang dicapai secara baik antara kedua-dua pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN