IPOH – Sebanyak 680 liter diesel disita dari sebuah kilang memproses gula batu di Kawasan Perindustrian Pangkalan, Lahat di sini hari ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sitaan ke atas bahan api itu dibuat susulan pemeriksaan menerusi Ops Tiris (Bersepadu) pada pukul 11.30 pagi.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, premis ini mempunyai diesel berjumlah 680 liter dalam simpanannya. Pihak premis memaklumkan diesel itu digunakan untuk tujuan persendirian dan operasi kilang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.
“Sehubungan itu, tindakan sitaan ke atas diesel tersebut dilakukan. Turut disita empat tong drum dan dokumen berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan RM3,260,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Selain KPDN, operasi turut disertai pegawai Jabatan Imigresen Perak, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, Majlis Bandaraya Ipoh dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia Perak. – KOSMO! ONLINE














