LONDON – Liverpool dilapor berada di barisan paling hadapan untuk mendapatkan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola apabila pemain itu sendiri dikatakan bersedia menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.
The Reds menjadikan pemain sayap Perancis berusia 23 tahun itu sebagai sasaran utama bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mohamed Salah selepas usaha mendapatkan Yan Diomande menemui jalan buntu.
Barcola sebelum ini dilaporkan sudah memaklumkan kepada PSG mengenai hasratnya untuk meninggalkan Parc des Princes, namun juara Ligue 1 itu masih berharap dapat memujuknya menandatangani kontrak baharu.
Bagaimanapun, sekiranya PSG bersedia melepaskan pemain tersebut, mereka difahamkan hanya akan membuka rundingan dengan nilai sekitar €150 juta (RM698.9 juta).
Liverpool dikatakan tidak berdepan masalah mendapatkan persetujuan peribadi daripada Barcola apabila pemain itu dilapor menjadikan Anfield sebagai destinasi pilihannya.
Malah, pihak pengurusan Liverpool melihat Barcola sebagai calon paling ideal untuk meneruskan legasi Salah berdasarkan kepantasan, kreativiti serta kebolehannya beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan. – AGENSI














