LONDON – Liverpool merancang mengemukakan tawaran untuk mendapatkan Yankuba Minteh selepas pemain idaman mereka, Bradley Barcola sukar untuk diperoleh ekoran harga yang tinggi diletakkan oleh Paris Saint-Germain.
Ketika Mohamed Salah bakal meninggalkan Liverpool, kelab itu kini sedang mencari pemain sayap kanan berkualiti tinggi sebagai penggantinya menyebabkan Minteh menjadi pilihan ketika dia juga sudah berpengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris.
Walaupun Liverpool telah menandatangani Victor Munoz dari Osasuna pada jendela perpindahan musim panas ini, bekas pemain sayap Real Madrid itu lebih sesuai beraksi di bahagian sayap kiri.
Liverpool berkemungkinan mengemukakan tawaran rasmi kepada Brighton dalam tempoh dua minggu akan datang untuk mendapatkan pemain antarabangsa Gambia itu.
Minteh merupakan pemain sayap kanan semula jadi dan menjaringkan tiga gol serta mencatat empat bantuan gol dalam 36 penampilan dalam semua pertandingan bersama Brighton musim lalu.
Bagaimanapun, perpindahan ini dijangka tidak murah apabila Brighton meletakkan tanda harga sekitar £70 juta (RM381.72 juta) hingga £80 juta (RM436.25 juta) untuk pemain berusia 21 tahun yang pernah bersama Newcastle United itu. – AGENSI














