LIPIS – Pendekatan turun padang menerusi Jelajah Aspirasi Pahang 1st 2026 dilihat mampu mengubah cara kerja konvensional apabila masalah rakyat dapat dilihat sendiri oleh barisan kepimpinan negeri tanpa bergantung semata-mata kepada laporan di atas kertas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, program berimpak tinggi itu menjadi platform berkesan dan inklusif dalam memastikan isu penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat perhatian secara langsung.
“Bagi pihak warga DUN Padang Tengku, kami amat menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan program impak tinggi ini. Sebagai wakil rakyat di peringkat akar umbi, saya melihat program ini sebagai satu platform yang sangat berkesan dan inklusif.
“Program ini membolehkan kepimpinan tertinggi negeri melihat sendiri realiti di lapangan tanpa sebarang tapisan birokrasi, sekali gus memastikan setiap dasar dan inisiatif makro yang dirancang di peringkat negeri dapat diterjemahkan dengan tepat demi manfaat penduduk di kawasan luar bandar seperti Padang Tengku,” katanya sempena Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Kompleks Teratai Padang Tengku di sini kelmarin.
Mustapa menjelaskan, keunikan program berkenaan terletak pada penglibatan secara menyeluruh dan serentak barisan kepimpinan negeri termasuk Menteri Besar Pahang serta kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Tambah beliau, selepas mesyuarat rasmi selesai, mereka akan berpecah ke kawasan mengikut portfolio masing-masing.
“Ini bermakna, isu berkaitan pertanian, infrastruktur, usahawan, hinggalah kebajikan masyarakat dapat diteliti secara khusus oleh Exco yang bertanggungjawab pada hari yang sama,” katanya.
Mustapa berkata, pendekatan turun padang secara bersasar itu juga membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan tepat berdasarkan keadaan sebenar yang dihadapi penduduk.
“Pendekatan ini menukar cara kerja konvensional. Apabila barisan Exco dan ketua-ketua jabatan turun sendiri melihat masalah longkang, jalan kampung, atau keperluan prasarana di Padang Tengku, keputusan boleh dibuat dengan lebih cepat dan tepat berdasarkan situasi sebenar,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














