KONTINJEN negara ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow menggalas tugas besar membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa selepas menyertai beberapa temasya utama sebelum ini tanpa penanda aras.
Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, sasaran itu bukan ditetapkan secara rambang, sebaliknya dibuat hasil penelitian terhadap prestasi atlet negara, kekuatan pencabar serta penilaian bersama jurulatih dan persatuan sukan.
“Ia berdasarkan fakta dan analisa apabila kita berbincang dengan jurulatih serta atlet. Kita juga menilai pencapaian lawan, prestasi semasa, ranking dunia dan potensi atlet kita. Jadi nombor ini bukan kita ambil begitu sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, semalam.
Malaysia akan mempertaruhkan seramai 59 atlet dalam lapan jenis sukan pada temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos itu dengan harapan mampu memperbaiki pencapaian keseluruhan kontinjen.
Menurut Awalan, sasaran 5-2-4 itu turut disokong prestasi semasa beberapa atlet bertaraf dunia yang berada dalam skuad negara ketika ini, sekali gus memberikan keyakinan bahawa misi tersebut mampu direalisasikan.
“Kita ada tiga juara dunia dalam kontinjen kali ini seperti Bonnie Bunyau Gustin, Abdul Latif Romly dan Emma Firyana Saroji yang kini menduduki ranking nombor satu dunia. Berdasarkan indikator prestasi yang kita pantau, sasaran ini memang mampu dicapai, malah mungkin lebih baik bergantung kepada prestasi pada hari pertandingan,” katanya.
Beliau berkata, antara sukan yang dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat ialah angkat berat, berbasikal, boling padang, judo, para powerlifting dan para olahraga, namun enggan mendedahkan sasaran emas bagi setiap acara.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menjelaskan, pendekatan menetapkan sasaran emas diputuskan Lembaga Pengurusan MSN bagi memberi hala tuju lebih jelas kepada kontinjen negara menjelang beberapa temasya besar termasuk Sukan Asia dan Sukan SEA tahun depan.
“Pendekatan kali ini berbeza kerana kita mahu memberikan KPI yang jelas kepada kontinjen dan atlet mengenai sasaran yang perlu dicapai. Semua ini dibuat berdasarkan pemantauan prestasi yang kita jalankan sejak tahun lalu menerusi program pemantauan serta laporan prestasi bulanan,” katanya.
Jefri turut yakin pengumuman sasaran itu tidak akan memberi tekanan berlebihan kerana majoriti atlet yang dipilih merupakan atlet berpengalaman yang sudah biasa beraksi di pentas antarabangsa.
Sebagai rekod, Malaysia menamatkan cabaran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa, sekali gus menjadi penanda aras kepada kontinjen negara yang kini memburu sasaran baharu 5-2-4 di Glasgow.














