KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencabar pembekuan dan penyitaan dua akaun bank milik parti itu yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Datuk Aliza Sulaiman (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati tindakan SPRM yang membeku dan menyita dua akaun parti tersebut tidak menyalahi undang-undang selain tiada mala fide (niat jahat) dan penyalahgunaan kuasa.
Pada Mac 2023, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yasin memfailkan semakan kehakiman terhadap pembekuan kedua-dua akaun tersebut.
Dalam semakan kehakiman itu, Muhammad Suhaimi dan Muhyiddin menamakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan 19 yang lain sebagai responden.
Bersatu mendakwa akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta AMLATFPUAA 2001.
Sebelum ini, seorang lagi peguam Chetan Jethwani yang mewakili Bersatu berhujah bahawa parti itu boleh dikemuka dan diputuskan melalui tindakan sivil.
Hujah beliau, permohonan itu tidak boleh ditentukan melalui prosiding jenayah seperti yang dihujahkan pihak kerajaan.
Menurut peguam, ini kerana Bersatu selaku sebuah pertubuhan, tidak didakwa di mahkamah di bawah pertuduhan jenayah.
Katanya, wang dalam akaun berkenan bukan milik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya milik parti itu.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili SPRM dan kerajaan berhujah, proses pembekuan akaun berkenaan dilakukan secara teratur, sempurna serta berlandaskan undang-undang dan mematuhi kuasa penyiasatan di bawah akta SPRM.
Ujarnya, dalam prosiding jenayah, pertuduhan terhadap Muhyiddin selaku pegawai awam dan kapasitinya sebagai Presiden Bersatu, adalah jelas. – KOSMO! ONLINE














