PETALING JAYA – Penemuan minyak masak peket dipercayai dari Malaysia dalam sebuah video masakan di selatan Filipina mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai bagaimana barangan bersubsidi itu boleh berada di luar negara.
Menerusi video yang dimuat naik di TikTok oleh akaun @decko_tum, seorang wanita dilihat menyediakan hidangan ikan menggunakan beberapa bahan masakan, termasuk sebungkus minyak masak berjenama Cap Epal.
Paparan bungkusan minyak masak itu menarik perhatian pengguna Malaysia sebelum rakaman tersebut dikongsikan semula di Threads oleh akaun @bruchinoy.
“Macam mana minyak masak subsidi Malaysia masih boleh tembus ke selatan Filipina?
“Bukankah minyak masak dalam peket tidak boleh dieksport ke luar negara? Betulkan saya kalau saya silap,” katanya.
Menurut pemilik hantaran itu, rakaman berkenaan dipercayai dibuat oleh pencipta kandungan tersebut di Zamboanga, selatan Filipina.
Rata-rata pengguna turut mempersoalkan bagaimana minyak masak peket itu boleh sampai ke negara berkenaan, malah ada yang mendakwa produk sama sukar diperoleh di beberapa kawasan di Sabah.
“Serius tanya, macam mana minyak masak subsidi Malaysia boleh lepas ke sana?” soal Eycah.
“Minyak Sabah, di sini macam susah mahu jumpa, rupanya di sana,” kata Ejamoin.
Setakat ini, hantaran tersebut meraih lebih 6,100 tanda suka, 330 komen dan 1,200 perkongsian di media sosial. – KOSMO! ONLINE
@decko_tum #fyp ♬ original sound – Beyang Decko tum














