PETALING JAYA – Seorang peniaga tempe buatan sendiri kecewa apabila ada pembeli mendakwa harga jualannya terlalu mahal.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh @tempelovervz, dia meluahkan rasa bingung memikirkan harga yang sesuai untuk diletakkan pada produk tempe seberat 100 gram itu.
“Sedih tak tahu nak cakap. Jual tempe RM2 pelanggan kata mahal, jual RM1 pun kata mahal. Tempe ini ‘homemade’, tak tahu nak jual berapa.
“Ini bukan nak minta simpati atau apa, ini kisah benar yang terjadi dekat saya, tergamam kejap,” luahnya pada hantaran berkenaan.
Menurut peniaga itu lagi, dia bagaimanapun tidak patah semangat dan berharap produk tempenya itu terus mendapat sambutan bagi membantu menambah pendapatan harian.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memberikan sokongan selain menasihati peniaga berkenaan agar tidak menurunkan harga kerana menyifatkan harga RM2 bagi tempe buatan sendiri adalah sangat berpatutan.
“Yang kata mahal itu suruh dia buat sendiri. Kalau beli makanan atau air viral (tular) sampai berbelas ringgit boleh pula bayar,” kata @mariatonandak.
“Jangan turunkan harga, kekalkan RM2. Saiz besar macam ini memang selayaknya RM2 hingga RM2.50,” ujar @zaharizuren pula.
Bagi seorang lagi pengguna, @yattaziz2222, dia memberikan cadangan agar peniaga terbabit meletakkan pelekat maklumat produk untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Awak letak pelekat nama, nombor telefon dan tulis buatan muslim. Usahakan juga masuk ke kedai runcit atau pasar raya, saya doakan semua dipermudahkan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














