fbpx
Tangkap layar video tukar petugas syarikat keselamatan sewaktu berhadapan seorang lelaki bersenjata pistol di hadapan sebuah bank komersial di Bandar Bukit Tinggi, Klang, semalam.

[VIDEO] Penyamun gagal kebas RM82,000, pekerja sempat tutup pintu van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Tindakan pantas petugas syarikat keselamatan menutup pintu van sekuriti berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki bersenjatakan pistol melarikan wang tunai RM82,000 dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam.

Kejadian mencemaskan pada pukul 5.30 hingga 6 petang itu berlaku ketika petugas terbabit sedang melakukan aktiviti rutin pemindahan wang tunai dari bank ke dalam van sekuriti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati beberapa petugas keselamatan didatangi seorang lelaki yang memakai jaket dan topi keledar bertutup penuh sebelum mengacukan sepucuk pistol dipercayai revolver.

“Sebaik menyedari kehadiran suspek, petugas tersebut bertindak pantas memasukkan wang tunai ke dalam van dan menutup pintu kenderaan menyebabkan suspek gagal melarikan wang berkenaan.

“Suspek bagaimanapun sempat merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas keselamatan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal jenis Yamaha,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Shazeli pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis IPK Selangor hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

Polis percaya suspek bertindak bersendirian dan tidak menolak kemungkinan mengetahui rutin pemindahan wang tunai berkenaan.

“Kita sedang siasat sama ada wujud penglibatan orang dalam. Kejadian berlaku ketika wang baru dibawa keluar dari bank dan semakan sedang dilakukan terhadap jadual pergerakan petugas.

“Setakat ini kita percaya waktu kejadian adalah rutin pemindahan wang, namun semua sudut siasatan termasuk kemungkinan pembabitan orang dalam masih diteliti,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, pihak polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Klang bagi mengesan suspek yang terlibat.

Katanya, beberapa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) daripada bank, premis berhampiran dan kamera papan pemuka kenderaan diperoleh bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang lelaki mengacukan pistol ke arah petugas keselamatan yang dikaitkan dengan cubaan samun tersebut. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN