fbpx
Hantaran memo di sebuah syarikat yang tular di Threads.

Ramai ‘flex’ syarikat beri cuti sempena final Piala Dunia 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menjelang perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 awal pagi Isnin, media sosial dibanjiri perkongsian pekerja yang ‘flex’ (menunjuk) apabila syarikat masing-masing mengumumkan cuti khas.

Lebih menarik lagi ada juga ditawarkan untuk bekerja dari rumah (WFH) selain syarikat menganjurkan acara tontonan bersama bagi memberi peluang kakitangan menyaksikan aksi kemuncak kejohanan itu.

Menerusi beberapa hantaran di Threads yang tular, ada syarikat mengeluarkan memo memaklumkan pejabat ditutup pada Isnin, 20 Julai, bersempena final Piala Dunia sebelum operasi disambung seperti biasa pada keesokan harinya.

“Syarikat ini bagi cuti sempena Piala Dunia.. sebab tahu staf akan ambik MC (cuti sakit) pada Isnin, hahaha! Syarikat kau orang ada?,” tulis @Tsmattja.

Di ruangan komen, terdapat juga syarikat yang memilih pendekatan lebih fleksibel dengan membenarkan semua kakitangan bekerja dari rumah selepas berjaga menonton perlawanan awal pagi.

Tidak kurang juga majikan yang menganjurkan acara tontonan bersama di kafeteria pejabat bermula pukul 3 pagi lengkap dengan makanan ringan, minuman serta menggalakkan pekerja memakai jersi pasukan pilihan masing-masing.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya memuji sikap majikan yang dianggap memahami minat pekerja terhadap bola sepak.

“Seronoknya. Piala Dunia pun empat tahun sekali. Lepas tu staf masuk kerja hari Selasa dengan lebih produktif. Majikan lain cubalah buat macam ni,” tulis Ghanie.

“Syarikat tak bagi cuti tapi suruh jadualkan semua mesyuarat ke hari Selasa sebab takut ramai MC sebab Piala Dunia,” komen @Raina.

“Syarikat saya tonton siaran langsung bersama dekat pejabat, berkhemah dekat dewan,” komen @Caca pula.

Final Piala Dunia 2026 akan menemukan juara bertahan, Argentina, dengan juara Eropah, Sepanyol dalam aksi yang berlangsung di Stadium New York New Jersey, Amerika Syarikat pada pukul 3 pagi Isnin waktu Malaysia.

Pertembungan itu turut menyaksikan Lionel Messi berpeluang mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenanginya pada edisi 2022, manakala Sepanyol memburu gelaran dunia kedua selepas muncul juara pada 2010. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN