PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Spacedollah mengakui mungkin sudah kehilangan nyawa selepas hampir lemas ketika berenang di Bali, Indonesia sekiranya tidak diselamatkan adiknya yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Spacedollah menerusi satu hantaran di TikTok berkata, kejadian itu berlaku tiga hari lalu ketika dia bercuti bersama Syed Saddiq, Hadi dan beberapa ahli keluarga lain di pulau peranginan tersebut.
Menurutnya, dia yang yakin dengan kemampuan berenang telah mengambil keputusan untuk berenang lebih jauh ke tengah laut tanpa menyedari dirinya dibawa arus dan ombak yang kuat.
“Saya pergi semakin jauh ke tengah laut dan tanpa sedar ombak sudah menarik saya jauh dari pantai. Semakin dekat ke tengah, semakin kuat ombak menghentam saya.
“Ketika itu saya mula sedar saya berada terlalu jauh dan perlu berenang semula ke pantai, tetapi ombak terus menarik saya ke tengah,” katanya.
Tambahnya, keadaan menjadi semakin cemas apabila dia tidak lagi dapat memijak dasar laut selain mula terminum banyak air laut sehingga keletihan.
“Saya menjerit meminta tolong sebanyak tiga kali, tetapi tiada siapa mendengar. Ketika itu saya benar-benar sangka saya akan mati.
“Saya sudah terlalu lemah untuk berenang dan hanya mampu mengucap kerana merasakan nyawa saya mungkin berakhir di situ,” ujarnya.
Menurutnya, ketika keadaan semakin kritikal, Syed Saddiq tiba-tiba muncul dan berenang menghampirinya sebelum menolak badannya dari belakang untuk membawanya semula ke pantai.
“Kaki saya sudah terlalu lemah dan saya tidak lagi mampu berenang. Namun dia terus berada di belakang saya dan menolak saya sehingga berjaya sampai ke pantai. Saya benar-benar fikir itu penghujung hidup saya.
“Nasib baik Saddiq pergi masuk Ironman semua. Saya pun tak tahu macam mana dia boleh muncul dan datang selamatkan saya ketika itu,” katanya.
Dia turut menyifatkan pengalaman tersebut sebagai detik paling menakutkan dalam hidupnya selain mengakui bahaya ombak laut tidak boleh dipandang ringan walaupun seseorang merasakan dirinya mahir berenang.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi laut dan tidak membiarkan anak-anak berenang bersendirian terutama ketika keadaan ombak kuat.
“Bali menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidup saya dan saya tidak mahu melalui perkara itu lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














