fbpx
Gambar hiasan. JANAAN AI

Henti tambah gula dalam biskut Deepavali – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa masyarakat India mengurangkan kandungan gula dalam adunan biskut manis menjelang sambutan Deepavali, bagi mengelakkan risiko diabetes yang semakin membimbangkan dalam komuniti itu.

Pegawai Pendidikan Kanannya, N.V. Subbarow berkata, masyarakat India disaran mengurangkan sehingga 80 peratus pengambilan gula, khususnya menerusi biskut tradisional yang lazimnya mengandungi gula putih dan susu pekat dalam kuantiti tinggi.

Menurutnya, pengambilan biskut manis yang menjadi antara hidangan utama ketika musim perayaan perlu dikawal, malah penggunaan gula putih dalam penyediaannya wajar dihentikan.

“Kira-kira 3.6 juta rakyat Malaysia dewasa yang dianggarkan menghidap diabetes, sebanyak 25.10 peratus daripadanya terdiri daripada masyarakat India.

“Situasi ini amat membimbangkan dan menyedihkan, justeru masyarakat India perlu lebih prihatin terhadap pengambilan gula, terutama ketika menyambut Deepavali,” katanya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, CAP turut menyarankan ibu bapa menyediakan minuman herba yang lebih sihat sebagai alternatif berbanding membeli minuman ringan yang mengandungi kandungan gula tinggi.

Subbarow berkata, rakyat Malaysia secara purata mengambil 26 sudu teh gula sehari, jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekitar lima sudu teh sehari.

Katanya, Malaysia turut mencatatkan jumlah pesakit diabetes tertinggi di rantau ASEAN dan keadaan itu memerlukan perubahan segera terhadap amalan pemakanan masyarakat.

“Marilah kita menjadikan sambutan Deepavali kali ini sebagai titik permulaan untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan lebih sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN