fbpx
Badrul Hisham (dua dari kiri) ketika menyerahkan sijil kelahiran seorang kanak-kanak pada Program Mekar : Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, Kuala Krai hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Tiada tindakan dikenakan jika tidak kemas kini alamat MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang belum mengemas kini alamat pada MyKad selepas berpindah ke tempat baharu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, meskipun penukaran alamat diwajibkan mengikut Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, peruntukan hukuman yang termaktub dalam undang-undang tidak bermaksud JPN sedang atau melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap orang ramai.

“Oleh itu, saya ingin tegaskan bahawa tiada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan ketika ini terhadap individu yang belum mengemas kini alamat pada MyKad selepas berpindah rumah walaupun kewajipan berbuat demikian diperuntukkan di bawah peraturan tersebut.

“Penjelasan saya sebelum ini adalah berkaitan peruntukan undang-undang yang sedia ada dan bukan bermaksud JPN akan mengambil tindakan terhadap semua individu yang belum mengemas kini alamat masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) : Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham memberitahu, sehingga kini, JPN juga tidak menjalankan operasi khusus bagi mengambil tindakan terhadap individu semata-mata kerana tidak mengemas kini alamat pada MyKad.

Katanya, tidak dinafikan ada dalam kalangan orang ramai keliru seperti yang dihebohkan menerusi media sosial susulan kenyataannya mengenai kewajipan mengemas kini alamat pada MyKad.

“Dakwaan bahawa pertukaran alamat di JPN akan menyebabkan pusat mengundi berubah secara automatik dan itu juga tidak benar.

“Selepas alamat dikemas kini di JPN, seseorang pemilih masih perlu mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk urusan pertukaran bahagian atau pusat mengundi mengikut peraturan yang berkuat kuasa. Proses pertukaran alamat di JPN juga tidak mengubah pusat mengundi secara automatik,” ujarnya.

Beliau berkata, peranan JPN adalah merekod dan mengemas kini alamat yang dikemukakan oleh pemohon selepas pengesahan dibuat bagi memastikan alamat tersebut benar-benar wujud dan didiami.

Tambahnya, sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, tidak membuat spekulasi sehingga menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN