fbpx
Tangkap layar video tular pergaduhan melibatkan pelajar sekolah menengah di Serdang.

Bergaduh depan sekolah: Tindakan tegas menanti pesalah – JPN Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah susulan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di Seri Kembangan baru-baru ini.

JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius insiden terbabit dan turt memberi kerjasama penuh kepada polis bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.

“JPN Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku keganasan yang melibatkan warganya. Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya hari ini.

Pada masa sama, JPN Selangor memaklumkan intervensi melalui perkhidmatan bimbingan dan kaunseling turut dilaksanakan terhadap murid yang terlibat bagi membantu mereka menangani kesan insiden tersebut.

“Masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

“Perbuatan menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes ini adalah salah di bawah peruntukan undang-undang,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan bapanya didakwa dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah sebelum dipanggil oleh beberapa pelajar sekolah sama.

Mangsa kemudian didakwa dikepung dan dipukul oleh sekumpulan suspek sehingga mengalami kecederaan pada bibir, lutut serta lebam di seluruh badan.

Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan pada tangan serta kaki.

Susulan itu, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan dan membawa mereka ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN