fbpx
ALVAREZ

EPL: Impian Arsenal mungkin berkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Hasrat Arsenal untuk mendapatkan penyerang sensasi, Julian Alvarez dilaporkan menerima tamparan hebat apabila pemain antarabangsa Argentina itu membuat keputusan untuk terus kekal bersama Atletico Madrid musim depan.

Alvarez yang sebelum ini sering dikaitkan sebagai sasaran utama pengendali Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan tidak berminat untuk menyertai The Gunners meskipun kelab London itu sedang giat mencari penyerang baharu.

Malah, laporan menyatakan bekas bintang Manchester City itu turut menolak kemungkinan berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) meskipun juara Perancis tersebut turut memantau situasinya.

Sebaliknya, Alvarez dikatakan hanya berminat menyertai Barcelona sekiranya dia meninggalkan Atletico, namun perpindahan tersebut juga dilihat sukar direalisasikan dalam masa terdekat.

Situasi itu secara tidak langsung meletakkan Atletico dalam kedudukan selesa kerana pemain berusia 25 tahun berkenaan tidak bercadang memaksa perpindahan atau mendesak kelab menjualnya.

Sebelum ini, masa depan Alvarez menjadi perhatian apabila beberapa laporan mendakwa dia berpotensi meninggalkan Atletico susulan minat daripada beberapa kelab gergasi Eropah menjelang jendela perpindahan musim panas.

Bagaimanapun, Atletico dilaporkan bertegas untuk mengekalkan khidmat penyerang tersebut dan enggan membuka sebarang rundingan dengan Barcelona yang turut berminat mendapatkannya.

Ketika Arsenal terus mencari pilihan untuk memperkuat jentera serangan, perkembangan terbaharu itu menyaksikan peluang mereka mendapatkan Alvarez kini semakin tipis, sekali gus memaksa Arteta menilai semula sasaran lain bagi memperkukuhkan skuad musim depan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN